bukan semuthlaknya, setiap manusia tiada langsung salah dan dosanya. bukan semuthlaknya, manusia terwujud terbit bersama puing iman yang berkepuk-kepuk dalam dada. manusia itu dilahirkan hasil nilai rasa dua nyawa yang utuh kasih antara roh dan nyawa. buih sayang kedua mereka, spesifiknya ayah dan bonda, maka dilahirkan segumpal darah anugerah cinta Ilahi.
usia kecil, mereka biarkan kau melihat seadanya segala ragam-ragam yang lain. lalu bila usia semakin meningkah, kau diajarkan mereka akan tentang menjadi manusia yang sempurna, yang kenal segala perihal sempurna.
apakah kesempurnaan itu selengkapnya ada dalam setiap jaminan di pengakhiran naskah kehidupan seorang manusia? itu mungkin ya. jika hanya sepintas imbas memori yang diwayangkan. itu juga mungkin ya. jika kelogikan nueron berpandu pada rupa dan tingkahlaku baik seiring paduan hati sama. namun bagi aku, itu bukan satu tiket perlepasan sewajarnya untuk manusia bergegas megah berlari ke syurga.
jika syurga hidup yang kau mahukan, syurga akhirat nanti kau bakal hilang. jika syurga akhirat yang kau mahukan, syurga dunia kau bakal hilang. seharusnya, kau perlu memilih terpaling tepat. seimbangkan koordinat antara keperluan dan kemahuan. segalanya tertulis dalam genggam buku tangan kau sendiri. bukan pada manusia lain.
kau mahu indah pada dunia. kau mahu juga indah pada akhirat. ironinya, itu adalah percaturan dalam rangkumam hidup kau. belajar dari bertatih. sebelum kau terus berjalan, berlari lalu memecut. betapa perlu mengikut arus, dari bawah ke atas. dari satu, dua, tiga hingga sepuluh.
dan betapa perlunya, ilmu dunia itu perlu dikutip. ilmu akhirat pula perlu dipegang erat. harus seimbang, biar tidak menyongsang dan berat sebelah.
mungkin langkah yang satu akan bercambah menjadi seribu di penghujungnya. memanipulasikan segenap ujian sebagai pemalar itukan antara agoni fragmen kehidupan. jadi, rasa takut dan tidak kental itu harus dibuang, jangan dibenar merentap dalam pembuluh jasad.
bertatih dulu tidak mengapa. merangkak dan seterusnya berjalan, tidak mengapa. ianya pola sebetulnya dalam graf manusia. biar terus konsisten, tidak punahkan nilai yang paling genap.
fragmentasi akhir, harus perlu diamati sepenuhnya dan diingat sepadatnya. ya, aku bukan yang selayaknya menitip pesan sebegini. menulis perihal ini juga tidak pantas, apatah lagi untuk diambil kisah oleh yang lain. ini sekadar atas rasa berkongsi, dan penelitian aku pada manusia-manusia yang turut menjadi watak dalam fiksi hari-hari aku.
jangan terlalu megah bila melangkah,
jangan terlalu bongkak bila mula berlari,
jika akhirnya kau hanya tersungkur rebah di kaki syurga.